Tuesday 14 October 2014

BUDAYA KEUSAHAWANAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM




Budaya bermaksud kemajuan fikiran, akal budi (cara pemikiran, berkelakuan dan 

sebagainya). Ia juga ditafsirkan sebagai satu set sikap, tingkah laku, nilai-nilai dan 
tindakan yang dikongsi bersama oleh sekumpulan manusia, syarikat dan sebagainya.
Keusahawanan pula adalah merupakan kata terbitan usahawan yang merujuk kepada 
perkara-perkara yang berkaitan dengan usahawan.  Oleh yang demikian budaya 
keusahawanan bolehlah disimpulkan sebagai cara pemikiran, sikap, norma dan 
kelakuan yang dimiliki dan dipraktikkan oleh individu usahawan itu sendiri. 


1. Mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan 

Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ia merupakan asas 
pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah usahawan. Dalam bidang 
perniagaan, Islam mewajibkan setiap usahawan untuk berpegang teguh dengan nilai 
yang baik dan menjauhi nilai-nilai yang buruk. Oleh sebab itulah jaminan hanya 

diberikan kepada usahawan yang benar-benar jujur dan ikhlas sahaja. 


a. Nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik 

Kepimpinan dan pengurusan yang baik merupakan nilai yang utama dalam budaya 
keusahawanan. Usahawan perlu mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan mampu 
mengurus perniagaan dengan baik dan teratur. Nilai-nilai ini seharusnya diamalkan 
dan dihayati oleh semua orang serta tidak hanya terhad kepada usahawan sahaja. Ini 
penting kerana setiap manusia mempunyai tanggungjawab tersendiri dan perlu 

mengurus tanggungjawabnya dengan baik dan teratur. 


b. Berani menghadapi risiko 

Risiko merupakan elemen yang tidak dapat dipisahkan dengan bidang perniagaan dan 
keusahawanan. Tahap risiko inilah yang akan menentukan kadar keuntungan yang 
akan diperolehi. Oleh yang demikian, usahawan perlulah bersedia dan berani 
menghadapi sebarang kemungkinan dalam perniagaan yang dijalankan. 
Rasulullah dan sahabat telah menunjukkan contoh keberanian menghadapai sebarang 
risiko dalam menegakkan kalimah Allah. Mereka sanggup berperang dengan bilangan 
tentera yang jauh lebih sedikit berbanding kaum Musyrikin. Walau bagaimanapun ini 
tidak bermakna umat Islam perlu berani secara membuta tuli. Keberanian haruslah 

disertai dengan strategi dan perancangan yang baik. 


c. Amanah 

Amanah juga merupakan nilai yang amat penting dalam keusahawanan. Ia merupakan 
sifat mulia nabi-nabi dan rasul-rasul. Dalam hal ini Rasulullah sendiri telah 

menunjukkan contoh terbaik sehingga digelar al-Amin


d. Sabar 

Ramai tokoh-tokoh usahawan yang beberapa kali menghadapi kegagalan dan terpaksa 
membina semula perniagaan daripada awal. Tokoh-tokoh seperti Hendry Ford, Albert 
Kwok, Boon Siew dan ramai lagi merupakan usahawan yang telah menghadapi 
pelbagai kesukaran pada awal pembabitan mereka dalam perniagaan. Walau 
bagaimanapun, atas daya usaha dan kesabaran yang tinggi mereka berjaya membina 
empayar perniagaan yang besar. Oleh yang demikian tahap kesabaran yang tinggi 
amat penting bagi memastikan usahawan berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan 

rintangan. Sifat sabar ini juga merupakan sifat para rasul dan nabi-nabi.


e. Bersedekah 

Konsep sedekah merupakan konsep yang luas dan penting dalam ekonomi Islam. 
Sedekah bukan sahaja dibuat semata-mata untuk mendapatkan ganjaran daripada 

Allah tetapi yang lebih utama adalah memberikan kestabilan ekonomi umat Islam. 


2. Konsep Ubudiyah 

Islam sebagai agama yang syumul tidak memisahkan segala urusan perniagaan 
dengan nilai-nilai agama. Perniagaan bukan sahaja dianggap sebagai kerjaya tetapi 

juga dikira ibadat dalam Islam dan akan mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat. 


 3. Jaringan perniagaan yang kukuh 

Apabila hijrah umat Islam berlaku, antara strategi utama Rasulullah adalah membina 
masjid dan seterusnya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Strategi ini 
merupakan asas kepada pengukuhan dan kekuatan masyarakat Islam yang masih baru 
di Madinah pada ketika itu. Ternyata strategi ini berjaya untuk membentuk ummah 

yang kuat dan berjaya mengalahkan musuh yang datang daripada luar


4. Tadbir urus korporat yang baik 

Tadbir urus korporat merujuk kepada sistem di mana sesebuah syarikat diurus dan 
dikawal selia. Lembaga pengarah bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat 
manakala pemegang saham berperanan untuk melantik pengarah-pengarah dan 
juruaudit dan memastikan struktur yang betul sentiasa berjalan. Dalam konsep tadbir 
urus ini, fokus diberikan kepada soal-soal berkenaan tanggungjawab, akauntabiliti, 
ketelusan, kesepakatan dan kepimpinan. Hal ini penting bagi memastikan setiap 
individu dalam organisasi menjalankan tugas masing-masing dan tidak 

menyalahgunakan kuasa yang ada demi kepentingan peribadi. 


5. Kreatif dan inovatif 

Kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan 
mengembangkan sesuatu idea yang asli. Manakala inovatif adalah perihal memulakan 
sesuatu yang baru. Sebagai individu yang sentiasa mengenal pasti peluang, nilai 
kreatif dan inovatif merupakan nilai yang amat penting bagi setiap individu usahawan. 
Sifat inovatif ini amat digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan 

setiap sesuatu adalah untuk digunakan oleh manusia.






MENERAPKAN BUDAYA USAHAWAN DALAM MASYARAKAT 





Pembentukan usahawan muslim memerlukan persekitaran ekonomi dan sosial yang 

kondusif. Untuk mewujudkan persekitaran sosial yang baik, masyarakat Islam harus 
mempunyai kesedaran dan mengamalkan budaya keusahawanan. Umat Islam bukan 
sahaja harus mengubah persepsi mereka terhadap bidang perniagaan tetapi 
menghayati nilai-nilai yang wujud dalam keusahawanan itu sendiri. Nilai-nilai 
tersebut perlulah ada dalam setiap individu meskipun mereka tidak menjalankan 
sebarang perniagaan. Konsep ini dikenali sebagai keusahawanan dalaman 
(intrapreneurship).Untuk mencapai objektif ini, pelbagai usaha oleh pelbagai 
pihak perlu digembeling secara kolektif. Antara inisiatif-inisiatif yang boleh diambil 
adalah seperti berikut: 


1. Pengukuhan melalui Institusi keluarga 


Institusi keluarga merupakan permulaan pembentukan individu dan masyarakat. 
Melalui peranan ibu bapa, anak akan dibentuk mengikut acuan yang mereka 
kehendaki. 
Ini bersesuaian dengan maksud sabda Nabi : 


“ Abu Hurayrah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w berkata : “ Setiap 

anak adam dilahirkan secara fitrah, maka ibu bapanya yang 

mencorakkannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi..”


Hadis ini menegaskan betapa kuatnya pengaruh pendidikan awal kanak-kanak dalam 

mencorakkan peribadi individu pada masa akan datang. Kajian telah menunjukkan 
bahawa ibu bapa mempengaruhi sikap anak-anak sama ada berminat untuk 

berkecimpung dalam keusahawanan atau sebaliknya


2. Meningkatkan ilmu pengetahuan 



Pepatah melalui ada menyatakan “ kalau tak kenal maka tak cinta”. Pepatah tersebut 

membawa maksud bahawa, seseorang itu akan cenderung atau meminati sesuatu 
hanya apabila dia benar-benar memahami perkara tersebut. Begitu juga dengan bidang 
keusahawanan, pengetahuan yang mendalam amat perlu untuk memastikan seseorang 

itu berjaya dalam bidang yang diceburi. 


3. Contoh yang baik oleh usahawan 



Peranan membudayakan masyarakat dengan keusahawanan perlulah ditunjangi oleh 

usahawan sendiri. Usahawan perlu menunjukkan contoh yang baik dan menjadi role 
model kepada masyarakat. Persepsi buruk terhadap mereka perlu diperbetulkan dari 
semasa ke semasa. Usahawan perlu mencontohi para sahabat Rasul yang sentiasa 
menjadi penyokong kuat terhadap perkembangan Islam. 
Para usahawan muslim harus beriltizam untuk sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni 
keusahawanan dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. Sifat-sifat sabar, ikhlas, 
mesra dan sebagainya harus ditonjolkan di samping menawarkan produk-produk yang 
berkualiti. Di samping itu usahawan juga harus memenuhi obligasi mereka terhadap 

masyarakat dengan bersedekah, menderma dan menunaikan zakat. 


4. Sokongan berterusan dari pihak kerajaan 



Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam menerapkan budaya keusahawanan 

dalam masyarakat. Pelbagai usaha dan dasar telah dirangka bagi mencapai objektif 
tersebut. Melalui Dasar ekonomi Baru kerajaan telah memperkenalkan beberapa 
langkah untuk meningkatkan pegangan orang Melayu dalam ekonomi. Selepas Dasar 
Ekonomi Baru, kerajaan tetap meneruskan usaha murni ini dengan mewujudkan Dasar 
Pembangunan Negara. Penyertaan masyarakat Melayu dalam bidang keusahawanan 
diberikan dorongan dan bimbingan padu dari pelbagai sudut. Kerajaan telah 
mewujudkan pelbagai agensi untuk menyokong usaha-usaha ini. Antaranya adalah 
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, MARA, MARDI, PERNAS, 
MIDA dan banyak lagi badan-badan lain. Agensi dan badan-badan ini membantu 
usahawan dari segi kewangan, pemasaran, kemahiran teknologi dan pelbagai aspek 
lain. Melalui dasar-dasar tersebut kerajaan secara langsung ataupun tidak langsung telah 
cuba menerapkan budaya keusahawanan kepada seluruh Masyarakat. Program yang 
dirangka oleh agensi dan kementerian terbabit bukan sahaja meliputi individu yang berkecimpung dalam perniagaan tetapi juga meliputi pelajar sekolah dan institusi 
pengajian tinggi. Malah kesedaran dan motivasi perniagaan juga diberikan kepada 
golongan-golongan tertentu seperti ibu tunggal dan masyarakat di bawah kategori 
miskin. Program-program seperti ini sebenarnya memberikan gambaran kepada 
masyarakat betapa pentingnya keusahawanan dan perlunya mereka menghayati 
budaya dan nilai-nilai dalam keusahawanan tersebut. 

No comments:

Post a Comment